Saturday, May 16, 2009

Kekasih, Dekatlah Padaku!

Manusia itu fitrahnya suci, ingin disayangi dan ingin menyayangi. Tetapi sebagai manusia yang telah mengaku menjadi hamba Allah yakni dari segi akidah, akhlak dan yang berkaitan dengannya, maka kasih sayang itu perlulah diletakkan pada tempatnya.

Tidak salah jika kita ingin selalu dekat dengan kekasih kita. Tetapi ingat, bukan kekasih yang diharamkan Allah tetapi kekasih yang benar-benar dimaksudkan dengan kekasih. Bagi orang yang faham bahasa melayu dengan mendalam, kekasih itu bermaksud orang yang kita kasihi. Jangan sempitkan minda anda duhai remaja! Janganlah bila disebut kekasih atau orang yang dikasihi, terus terbayang di minda kita seorang jejaka atau perempuan yang belum menjadi suami atau isteri kita. Tetapi secara universalnya makna kekasih itu adalah seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu orang yang kita kasihi, tidak kiralah samada suami, ibu, ayah, ahli keluarga mahupun sanak saudara. Mereka inilah sebenarnya kekasih-kekasih yang perlu kita dekat dengan mereka.

Istilah kekasih seperti di atas juga masih sangat berbeza bagi insan yang kehidupannya sentiasa disinari iman. Yang hatinya sangat mahukan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi. Di sini saya bawakan anda satu kisah bagaimana golongan ini mentafsir makna kekasih ini.

Antara kisahnya ialah...



Seorang pemuda bernama Khatim Al Asham yang merupakan salah seorang murid Syaqiq al Balkhy (semoga Allah merahmati keduanya). Pada suatu hari Syaqiq bertanya kepada Khatim: “Hai Khatim apakah antara manfaat yang telah engkau perolehi daripadaku?”

“Aku telah memperolehi beberapa manfaat”. Jawab Khatim kepada gurunya.

Antaranya ialah aku melihat manusia, dan aku melihat masing-masing dari mereka memilih seorang kekasih. Sebahagiannya ada yang menemani kekasihnya sampai saat sakit yang membawa kematiaannya. Dan sebahagian yang lainnya menemani sampai ke sisi kubur bersamanya. Tapi setelah itu mereka meninggalkannya keseorangan di dalam kubur dan kembali kepada hal mereka masing-masing. Maka aku merenung  dan mengharapkan seorang kekasih yang dapat menemaniku sehingga ke dalam kubur. Ternyata aku tidak mendapatkannya, kecuali tidak lain hanyalah AMAL SOLEH. Maka dengan itu aku memilihnya untuk menjadi kekasihku, agar kelak menjadi sahabat yang dapat menemaniku di alam kubur nanti...

Wallahu A’lam.

(Kisah dipetik dari karangan Imam Al Ghazali: Wahai Anakku!)

Thursday, May 14, 2009

Aku Hanya Seorang Umar



Pada suatu hari sedang khalifah Uthman berehat-rehat dalam rumahnya disebabkan cuaca yang panas terik, tiba-tiba beliau ternampak kelibat seorang lelaki yang macam terkejar-kejar sesuatu. Tidak berapa lama kemudian datang balik lelaki tersebut dengan lembu diseret di tangannya.

Khalifah Uthman cepat-cepat keluar kerana ingin mengetahui siapakah lelaki tersebut. Khalifah Uthman terkejut bila mendapati yang lelaki tersebut adalah amirul mukminin Khalifah Umar.

"Kenapa saudara, apa yang telah berlaku?" tanya Uthman kepada sahabat baiknya itu. "Saya baru lepas berjaya menangkap seekor lembu" jawab Umar.

"Lembu siapakah itu? Bukankah saudara antara orang yang tak peduli pada harta dunia, kenapa dengan lembu itu?" tanya Uthman lagi kehairanan.

"Ini lembu yang didermakan kepada anak-anak yatim. Tadi, ianya terlepas dari kandang dan lari ke tengah jalan. Jadi, saya cuba menangkapnya balik dan berjaya menangkapnya sekarang" jawab Umar.

"Apakah tidak ada orang lain yang boleh disuruh untuk menangkapnya, wahai amirul mukminin?" tanya Uthman.

"Bukan tidak ada orang lain wahai Uthman, tetapi apakah yang saya akan jawab di hadapan Allah kelak. Ini kerana jawatan khalifah merupakan suatu amanah, bukannya kehormatan" jelas Umar.

"Kalau begitu singgahlah di rumah saya, sementara menunggu hari redup sedikit" pelawa Uthman kerana melihat Umar yang dalam keadaan keletihan. "Tidak apalah wahai saudara, saya perlu selesaikan tugas ini dahulu. Saudara berehatlah" tolak Umar lembut.

Mendengar kata-kata tersebut, kelopak mata Uthman basah. Sambil masuk semula ke dalam rumahnya hatinya berkata, "Umar, engkaulah cermin peribadi ketua negara yang sebenar. Sungguh, tingkah lakumu menjadi beban kepada pemimpin-pemimpin Islam selepasmu nanti".

Tuesday, May 12, 2009

Berikan Hatimu Sedikit Cahaya


“Wah banyaknya awak masak harini, ayam percik ada, daging masak merah ada, udang masak pedas ada... ni yang bertambah sayang pada isteri abang sorang ni“… Sudah tentu pujian sebegini akan menaikkan lagi semangat sang isteri untuk memasak pelbagai jenis makanan di lain hari, dan bagi suami pula, dunia dirasakan terlalu indah kerana setiap hari dihidangkan dengan makanan yang enak.

Cuba kita renung sejenak, benarkah kasih sayang seorang isteri itu hanya akan terzahir apabila ia menghidangkan makanan yang pelbagai dan lazat pada suaminya dan benarkah kasih sayang suami akan bertambah bila si isteri semakin hari semakin pandai memasak pelbagai jenis lauk? Secara sedar atau tidak sebenarnya kita sedang mengajar isteri atau suami kehidupan yang mewah, senang lenang, serta kehidupan yang jauh bezanya dari kehidupan Rasulullah.

Jika isteri hanya menghidangkan ikan goreng berkuah sayur air adakah bermakna isteri itu pemalas dan kurang kasih sayang terhadap suaminya? Sebenarnya jika difikirkan secara dalam, isteri yang beginilah yang amat menyayangi suaminya... KENAPA?... Kerana si isteri tidak melalaikan suaminya dengan kenikmatan dunia yang sementara, dan jika suaminya itu seorang yang baik, sudah tentu dia merasa bangga kerana mempunyai isteri yang sedaya upaya membina keluarga berasaskan kehidupan Rasulullah SAW… BAGAIMANA YANG DIKATAKAN KEHIDUPAN RASULULLAH SAW ITU? Sama-sama kita renungkan sirah kekasih Allah ini dengan hati yang penuh keazaman untuk kita sama-sama jadikan Baginda sebagai contoh kehidupan seharian kita, dan kisah di atas itu hanya sekadar contoh kenikmatan dunia yang kadang2 kita tidak merasakan itu suatu kemewahan kerana ia sudah menjadi perkara biasa dalam hidup kita, jangan kita terperangkap dengan tipu daya syaitan durjana…



Sebagaimana kita tahu, kehidupan Rasulullah SAW amat sederhana, Baginda Rasulullah SAW memandang jijik orang2 yang angkuh dengan kekayaan, dengan kata-kata Baginda melalui Aisyah : ”Aku ditawarkan oleh Allah untuk menukarkan batu-batu kerikil sekeliling Makkah menjadi emas tulin; dan aku menjawab : ”Ya Allah! Apa yang ku pohon adalah kelaparan sehari, dan kelegaan di sehari kemudiannya. Di hari kelaparanku, aku mengingatiMu, dan di hari kelegaanku, aku bersyukur padaMu.”

“Apalah ertinya kekayaan dunia kepadaku? Aku adalah seumpama pengembara yang berehat di bawah lindungan keredupan bayangan pepohon; tatkala matahari membenamkan diri, keredupan bayangan pun menghilang; dan tidak datang lagi. Ya Allah! Biarkanlah aku mati dalam kemiskinan; bangkitkanlah aku dikalangan orang-orang yang miskin!”

Beberapa bulan lamanya dapur rumah Rasulullah SAW tidak berasap, menyebabkan Baginda dan ahli-ahli keluarganya tidak mempunyai makanan selain kurma kering, dan air minuman biasa penghilang dahaga. Ketika kelaparan begitu memedihkan, Baginda menerimanya sebagai ujian, yang dihadapi dengan penuh kesabaran. Ketika wafatnya, Baginda Rasulullah SAW tiada memiliki simpanan makanan walaupun sepiring gandum.

Kesihatan tubuh badannya dijaga pelihara, kelegaan hidup dinikmati dalam keadaan yang sentiasa bersih dan berwudhuk. Alas tidurnya adalah helaian tikar yang sering meninggalkan kesan di badannya ketika berbaring. Bantalnya terbuat daripada himpunan dedaun kurma sementara katilnya terbuat dari kain gebah yang terlipat dua. Suatu malam, Aisyah melipat kain gebah itu menjadi empat lipatan, dan Rasulullah SAW tidak menyenanginya lalu meminta supaya dilipat sebagaimana biasanya.

Sebelum wafat, Baginda Rasulullah SAW membebaskan semua hamba abdinya, dan menyedekahkan milik kepunyaannya yang masih berbaki. Pertemuan dengan Allah kelak tidak mahu di cacati dengan kilauan emas perak dalam simpanan. Di rumah kediamannya, terdapat hanya tiga puluh cupak gandum, yang di perolehi sesudah meletakkan baju perisai sebagai sandaran.

Apapun jua, kekuasaan, kekayaan, dan kemewahan yang di anugerahi Allah hendaklah dijuruskan ke jalan yang diredhaiNya, sebagai pencipta dan pemilik makhluk dan alam semesta, dan jangan sesekali kita lalai sehingga kita hanyut dengan nafsu godaan syaitan. Wallahua’lam.

(Dipetik dari Sirah Muhammad SAW : Haji Mohd Rashad Shamsuddin)

Monday, May 11, 2009

Rindu Yang Halal



Suamiku sayang…

Apabila berjauhan nanti, kenikmatan yang paling besar Allah kurniakan pada kita ialah kerinduan yang halal.

Iringilah kemanisan kerinduan itu dengan ingatan pada yang Maha Kuasa.

Bila kita bersua nanti, rindu itu pasti hilang dan kita gantikan dengan rasa kesyukuran kerana kemanisannya tetap bersama kita.

Maha Pemurahnya Allah kerana mengurniakan kita rindu yang halal ini.

Rindu yang mendatangkan pahala, kerana rindu kita rindu yang halal...

Thursday, April 30, 2009

Isteriku Menulis

Di kala kita berjauhan,

Hati meruntun sayu dek kerinduan yang tak tertahan,

Suara halusmu sentiasa membisikkan kesabaran,

Ku kuatkan hati demi sebuah perjuangan,

Hanya cantuman kalimah menjadi tatapan…



Maka terhasillah blog yang menjadi pengubat rindu antara sang suami dan isteri tercinta. Kerinduan yang bukan sekadar sia-sia tetapi kerinduan yang penuh peringatan. InsyaAllah segala yang terkandung di dalam blog ini akan memberi sedikit sebanyak manfaat kepada kita berdua dan kepada pembaca lain yang sudi meluangkan masa menatap setiap bait kata di dalam blog ini.

Suatu hari, kulihat isteriku sedang menulis, menulis di komputer… maknanya sedang menaip, aku intai dari jauh, khusyuk benar isteriku menaip, “Abang nak baca boleh?” sambil tersenyum dan dengan mimik muka sayu aku meminta pada isteriku untuk membaca apa yang ditaipnya. “Malu nak bagi abang baca, saya tak pandai menulis” jawab isteriku dengan rendah diri. Aku biarkan dahulu isteriku menulis sehingga habis, nanti esok boleh aku baca. Akhirnya aku tertidur, dan esoknya isteriku cepat-cepat beritahu yang dia dah padam semua apa yang ditulisnya, alahai pemalunya isteriku ini.

“Abang, nanti saya tulis semula ya banyak-banyak, nanti abang letak dalam blog ya, kalau abang rindu saya, abang bacalah blog tu ya”, kata isteriku suatu petang. Aku tahu hatinya sayu kerana terpaksa berjauhan denganku sedikit masa nanti, tapi aku yakin isteriku seorang yang kuat untuk harungi dugaan ini dan hatiku berbisik ‘Abang akan tatap setiap patah perkataan yang isteri abang ni tulis’…